Thursday, July 3, 2008

jaDikAn HaRi iNi HaRi anDa

Apabila anda berada di pagi hari, janganlah menunggu waktu petang, kerana hari ini adalah kesempatan untuk hidup. Oleh kerana itu, anda tidak perlu memikirkan hari semalam yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga dengan hari esok yang belum tentu datang.

Hari yang saat ini mataharinya menyinari anda, dan siangnya menyapa anda, membuat anda mampu memandang alam sekitar. Itulah hari anda, maka manfaatkan hari itu sebaik-baiknya! Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seakan-akan anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga.

Falsafah ini akan menyelamatkan kehidupan anda sehingga tidak tersepit di antara dua kehidupan masa lalu dengan pelbagai kesedihan dan kegundahan yang terjadi masa itu dan masa depan yang penuh ketidakpastian dan seringkali menakutkan.

Pusatkanlah seluruh perhatian dan kreativiti anda untuk satu hari sahaja. Dan pada hari inilah anda harus bertekad mempersembahkan kualiti solat anda yang paling khusyuk, membaca dan memahami Al-Quran secara mendalam, merenungi kehidupan dunia dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlak, perhatikan terhadap keadaan sekitar, perhatian terhadap kesihatan jiwa dan raga serta memberi manfaat kepada orang lain.

Untuk hari ini, anda harus mulai membahagikan waktu dengan bijak. Jadikanlah setiap minit seakan ribuan tahun dan setiap detik seakan ratusan tahun; tanamlah kebaikan sebanyak2nya pada hari itu; memelihara indahnya kehidupan, meminta ampunan dari pelbagai dosa yang telah dilakukan, mengingati Tuhan dan mempersiapkan diri untuk pergi jauh (mengharapNya).

Dengan demikian hidup anda pada hari ini akan penuh kebahagiaan, merasa aman dan tenteram serta menerima rezeki isteri, suami, anak-anak, adik-beradik, ibu bapa, tugas-tugas dan ilmu pengetahuan dengan tangan terbuka dan rasa syukur.

No comments: